Dua jam disoal, Hadi Awang beri kerjasama penuh

0
181

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan yang beliau telah memberi kerjasama penuh terhadap pihak polis ketika dipanggil untuk memberi keterangan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, sepanjang dua jam sesi soal jawab itu, pihak polis menjalankan siasatan dengan sangat profesional dan bersopan.

Abdul Hadi juga menegaskan beliau bersedia untuk tindakan lanjut selepas siasatan dijalankan sama ada ke mahkamah atau sebagainya.

“Giliran saya sudah selesai. Saya minta siasatan juga dilakukan terhadap Pakatan Harapan (PH) yang menyentuh umat Islam disegerakan.

“Ramai dah buat laporan polis. Pihak Pas, badan bukan kerajaan (NGO) Islam, kita harap siasat sama,” katanya kepada media selepas selesai memberi keterangan kepada polis.

Terdahulu, Abdul Hadi tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul Kuala Lumpur bagi memberi keterangan kepada polis kira-kira pukul 3 petang susulan beberapa laporan terhadapnya sebelum ini.

Abdul Hadi, 75, tiba di pekarangan IPD Sentul dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih pada pukul 2.57 petang ditemani beberapa pembantu.

Untuk rekod, beberapa laporan yang dibuat terhadap Abdul Hadi adalah mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia.

Sementara itu, ditanya mengenai usaha Perikatan Nasional (PN) untuk kembali menjadi Kerajaan Persekutuan, Abdul Hadi berkata persiapan telah dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, PN ketika ini hanya menunggu dan melihat reaksi rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk PH bersama-sama Barisan Nasional (BN) serta gabungan-gabungan parti yang lain.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PN juga telah melantik Ketua Pembangkang sebagai persediaan menghadapi sesi Parlimen akan datang, lapor Utusan Tv.

Jelas beliau, PN akan mengeluarkan kenyataan berhubung Ketua Pembangkang itu dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here