Lewat umum Jemaah Menteri kegagalan pertama Anwar, kata PAS

0
207

SEORANG ahli Pas menyifatkan kelewatan membentuk Kabinet dan mengumumkan senarai ahli Jemaah Menteri dalam kerajaan perpaduan sebagai kegagalan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun sudah lebih seminggu dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. 

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, kelewatan itu ketika cuaca negara berada dalam keadaan tidak menentu apabila bencana banjir diramal berlaku dalam skala yang lebih besar. 

“Jelas sekali, Anwar sangat lambat bertindak menamakan anggota Kabinetnya sedangkan persekitaran amat menghambat sekarang ini. 

“Apa yang ketara, beliau disibukkan dengan aktiviti-aktiviti sosialnya berbanding tindakan cepat untuk mengaktifkan jentera pentadbiran. Baru sahaja seminggu, Anwar telah menempa kegagalan pertama. 

“Bagaimana agaknya negara akan menghadapi bencana ini tanpa sebuah kerajaan yang sempurna?” katanya lapor Utusan Malaysia.

Mohd. Zuhdi turut mempersoal bagaimana kerajaan boleh membuat keputusan-keputusan yang kritikal ketika banjir berlaku jika ahli mesyuarat kerajaan belum diwujudkan malah menteri-menteri berkaitan belum dilantik. 

“PH antara yang paling lantang menentang PRU15 diadakan kerana fokus seharusnya diberikan terhadap bencana banjir. Sekarang banjir mungkin berlaku dalam tempoh terdekat, tetapi Perdana Menteri belum menyiapkan jenteranya,” katanya, lapor Utusan Malaysia

Tambah Mohd Zuhdi, kelewatan membentuk Kabinet juga dijangka menyebabkan Belanjawan 2023 tergendala.

“Bajet tahunan dibuat berdasarkan portfolio kementerian yang wujud. Jika menteri belum dilantik, bermakna kementerian belum wujud dan peruntukan-peruntukan mengikut kementerian juga belum wujud.

“Bolehkah penelitian ini disiapkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang jika belanjawan mahu dibentang minggu ketiga atau hujung bulan ini? Apakah yang akan berlaku kepada negara dan rakyat jika belanjawan belum diluluskan selepas melampaui tahun baru?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here