PN susun ‘Kabinet bayangan’ untuk semak, imbang Kerajaan PH

0
131

PERIKATAN Nasional (PN) dalam usaha menyusun ‘Kabinet bayangan’ dengan kepakaran dimiliki gabungan itu akan bertindak sebagai semak dan imbang kepada Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata PN bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia, demi menjamin kemaslahatan negara.

Beliau juga optimis kerjasama antara kerajaan dan pembangkang boleh terjalin sepertimana sebelum ini untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara dan mengangkat Malaysia kembali ke persada dunia.

“Kita dalam usaha menyusun ‘Kabinet bayangan’ atau kepakaran melalui kementerian-kementerian. Apatah lagi, kita pernah memimpin sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya yakin ‘template’ (acuan) yang sama juga akan dibawakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita mewujudkan satu kekuatan yang ampuh,” katanya ketika bercakap pada program bual bicara di sebuah stesen televisyen malam tadi, lapor BH Online.

Khairil Nizam berkata, selain sokongan kepada Kabinet, pembangkang juga boleh memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen.

“Kalau ditakdirkan ada badan atau jawatankuasa yang diperlukan untuk pembangkang menjadi ketuanya, mengapa tidak? Sebelum ini pun, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kita berikan kepada DAP untuk mengetuainya.

“Sewajarnya, segala fasiliti dan prasarana untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran ditetapkan kepada setiap jawatankuasa terbabit maka perkara itu akan diperkasakan oleh pihak kerajaan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

PN sebelum ini memutuskan untuk tidak menyertai Kerajaan Perpaduan meskipun diajak untuk bekerjasama oleh Anwar, sebaliknya memilih untuk menjadi pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here