PN Perak nafi terlibat tarik ADUN BN

0
169

PERIKATAN Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bahawa terdapat cubaan mendapatkan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN bagi membentuk kerajaan negeri.

Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, cubaan ‘mencuri’ empat wakil rakyat parti itu minggu lalu adalah tidak benar serta tidak berasaskan fakta.

Jelas beliau, itu merupakan tuduhan yang tidak berasas dan PN tidak pernah memberi atau menawarkan mahupun mahu membeli ADUN BN.

“Janganlah membuat tuduhan begitu. Saya sendiri tidak pernah hubungi mana-mana ADUN BN sehinggalah Saarani mengangkat sumpah pada Isnin.

“Saya sendiri jumpa beliau pada pukul 3 pagi pada Ahad minggu lalu untuk bertanyakan kerjasama itu sahaja,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Menurut Zainol Fadzi, beliau ada menghubungi dua ADUN BN untuk bertanyakan mengenai pelantikan Exco.

“Tiada pula arah atau menghantar ejen seperti yang didakwa apatah lagi meminta mereka keluar parti kerana semuanya saya kenal dan bersahabat baik.

“Saya faham tekanan yang beliau hadapi disebabkan keputusan yang telah diambil cuma dalam kes ini tidak timbul isu cubaan membeli ADUN BN.

“Waktu pertemuan Saraani bersama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu adalah untuk melihat gabungan PN dan BN menubuhkan kerajaan Perak itu sahaja,” katanya.

Semalam, Saarani mendedahkan kononnya terdapat cubaan pihak tertentu mendapatkan sokongan ADUN BN sebelum pembentukan kerajaan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here