Hormat mandat rakyat- Saifuddin

0
240

BARISAN Nasional (BN) Pahang diminta menghormati keputusan rakyat negeri itu yang memberi mandat besar kepada Perikatan Nasional (PN), pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.

Pengerusi PN negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendakwa BN menuntut jawatan menteri besar dan mahukan tujuh kerusi exco selain hanya bersetuju memberikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun gabungan itu adalah minoriti yang tiada mandat.

“Parti yang menerima mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah Perikatan Nasional. Itulah kehendak rakyat yang perlu dihormati.

“Sejak awal, PN sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan PH yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat,” katanya di Facebook.

“Tetapi BN pula menuntut jawatan Menteri Besar dan mahukan tujuh kerusi Exco dan hanya setuju berikan PN satu kerusi exco sahaja walaupun mereka parti minoriti yang tiada mandat.”

Jelas beliau lagi, sifat tamak dan mahu mengenepikan mandat rakyat ini adalah sifat sebenar UMNO/BN yang rakyat perlu sedar.

“Saya tidak tahu apa gula-gula “pelincir” yang PH setuju tawarkan kepada BN. Saya harap tidak ada perkara menyeleweng yang ditawarkan demi kuasa dan jawatan,” katanya lapor FMT.

Sementara itu, Kosmo melaporkan, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN Pahang sedia berkompromi dengan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri melalui kerjasama antara BN dan PN.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, BN perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan selari dengan kekuatan PN yang menang 17 kerusi berbanding BN yang memperoleh 16 kerusi dalam PRU-15.

Menurutnya, antara tuntutan itu ialah tiga daripada lima ADUN lantikan diberi kepada PN dan jumlah exco yang sama banyak serta speaker DUN menjadi milik PN.

“Saya yakin (Datuk Seri) Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya Allah sinar harapan itu ada di mana-mana, PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,”katanya pada majlis jamuan kesyukuran rakyat DUN Cheka di Dataran Kerambit di sini semalam.

PRU-15 lalu menyaksikan Pahang merekodkan sejarah buat kali pertama apabila gagal menubuhkan kerajaan negeri selepas mana-mana parti tidak memperolehi majoriti menyaksikan PN menang 17 kerusi manakala BN menang 16 kerusi dan Pakatan Harapan (PH) mendapat lapan kerusi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here