Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan -

Kaut gamat: Warga Vietnam, Indonesia ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan atas kesalahan melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan, semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata semasa menjalankan rondaan rutin, kapal ronda KM Bistari telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari sini.

Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan. 

Bot yang berpangkalan di Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut,” katanya.

Beliau berkata komuniti maritim dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelakkan daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

– – BERNAMA