Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN -

PRU-15: PN optimis rampas DUN Tioman dari BN

PERIKATAN Nasional (PN) optimis dapat merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman daripada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang pengundiannya akan berlangsung pada 7 Dis ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang Rosli Abdul Jabar berkata Nor Idayu Hashim, 35, Ketua Muslimat parti itu bagi Cawangan Pianggu, adalah calon yang sesuai memandangkan DUN Tioman mempunyai ramai pengundi wanita.

“Selain itu, gelombang pengundi pada PRU15 baru-baru ini yang menyaksikan pengundi beralih daripada BN kepada PN sehingga membolehkan kita merampas Parlimen Rompin dan DUN Bukit Ibam masih belum reda.

“Saya percaya ini juga akan diterjemahkan di DUN Tioman dengan gerak kerja jentera parti yang akan membantu sehabis baik untuk memenangkan calon kita,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Pengenalan Calon DUN Tioman di Kampung Sepakat di sini malam tadi.

Beliau berkata pemilihan Nor Idayu, yang berkelulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan, juga bagi memastikan terdapat ‘suara wanita’ di DUN Pahang.

Jika menang, Nor Idayu akan menjadi calon tunggal wanita PN di DUN Pahang memandangkan kesemua 17 wakil rakyat gabungan itu yang menang pada PRU-15 adalah lelaki.

PN Pahang turut meletakkan calon wanita pada PRU15 iaitu Ketua Muslimat Pas Pahang Salamiah Mohd Noor yang berjaya merampas kerusi Parlimen Temerloh daripada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun PN Pahang berjaya memperoleh 17 kerusi DUN, lebih satu kerusi berbanding BN, Rosli berkata ia bukan alasan untuk mereka ‘berasa selesa’ atau mengambil ringan cabaran pihak lawan.

PRU-15 bagi DUN Tioman ditangguhkan ekoran kematian calon PN iaitu Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.