PN mampu menang mudah di Padang Serai, Tioman 

0
63

PERIKATAN Nasional (PN) diyakini tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan di Parlimen Padang Serai serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang tertangguh akibat kematian calon yang bertanding di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini yang dilihat menampakkan keyakinan rakyat kepada PN.

“Dengan gelombang yang bertiup ke arah PN, penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta perkembangan semasa yang memberi kesedaran kepada pengundi, saya fikir PN akan mendapat laluan mudah untuk menang di Padang Serai dan Tioman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dalam pada itu turut menyatakan persetujuan dengan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama lima negeri lain termasuk yang berada di bawah pentadbiran PH.

Secara prinsipnya kata beliau, idea berkenaan dilihat akan memudahkan perjalanan pilihan raya termasuk pergerakan pengundi luar untuk pulang serta petugas-petugas parti.

“Kalau nak dijadikan pilihan raya serentak kita boleh rundinglah dengan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Saya rasa perkara ini bukanlah sesuatu yang sulit untuk dipersetujui bersama.

“Kalau Pas pusat bersetuju tak ada masalah, bagi pihak negeri saya fikir pilihan raya bersama itu lebih baik untuk memberi peluang kepada semua orang balik untuk mengundi, kalau cuti pun akan serentak sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here