Perlantikan PM: Penyokong parti dilarang laku provokasi

0
405

ORANG ramai terutamanya penyokong parti politik dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses perlantikan Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, di sini, berjalan lancar. 

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil pihak polis bagi mana-mana penyokong parti politik yang melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu termasuk perkauman dan agama.

“Istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan akan berlangsung di Istana Negara jam 5 petang nanti.

“Justeru, kami menasihatkan orang ramai terutamanya penyokong-penyokong parti politik untuk sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan perlantikan ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini lapor Harian Metro.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak memuat naik sebarang hantaran atau apa jua sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham pada masyarakat umum. 

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dipetik berkata, pelantikan itu dibuat Al-Sultan Abdullah selepas memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here