SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai didera bapa tirinya di rumah mereka dekat Taman Sri Ramal, Kajang, malam kelmarin.
Kanak-kanak terbabit dikejarkan ke Hospital Serdang (HS) dengan ambulans selepas ditemui tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata ambulans membawa mangsa tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma Zon Merah HS kira-kira jam 11.33 malam kelmarin, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
“Hasil bedah siasat dijalankan hari ini mendapati kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan ususnya pecah.
“Selain itu terdapat juga beberapa kesan lebam pada bahagian punggung, buah dada serta lengan mangsa,” katanya dalam kenyataan, seperti dilaporkan BH Online.
Beliau berkata bertindak atas maklumat diterima itu, polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun yang juga bapa tiri mangsa di pekarangan HS, kira-kira jam 2.25 petang, tadi.
“Hasil siasatan awal, suspek mengaku memukul mangsa dengan menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas rumah mereka.
“Suspek mendakwa dia bertindak sedemikian kerana marahkan mangsa yang dikatakan sering membuat masalah ketika ibunya tiada di rumah,” katanya.
Mohd Zaid berkata, polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.
“Kita menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini untuk tampil membantu siasatan polis.
“Mereka boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.