Bukan kali pertama Zahid tipu istana, Tun Faisal buat laporan polis

0
54

SATU laporan polis dibuat susulan kandungan surat yang tular menyaksikan Pengerusi Barisan Nasional (BN)Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mewakili 30 ahli Parlimen, mengatakan kesemua mereka menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. 

Laporan polis itu dibuat oleh bekas timbalan ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, petang tadi. 

Katanya, ini bukan kali pertama Zahid cuba menipu dan memperdaya Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, ia pernah dilakukan selepas mesyuarat MKT UMNO di Janda Baik, Pahang berkaitan penarikan balik sokongan terhadap perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Pada Oktober 2020, Zahid dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara menulis surat secara bersama kepada Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Atas sebab itu, kata Faisal, pemimpin tersebut tidak boleh terlepas dan dibiarkan mengulangi kesalahannya. 

“Mungkin dulu dia terlepas. Sekarang kita buat laporan polis supaya ada siasatan.

“Kita harap daripada laporan ini, pihak berkuasa boleh ambil tindakan (ke atas Zahid),” katanya kepada petugas media selepas selesai membuat laporan kira-kira dua jam berada di dalam balai polis berkenaan lapor MalaysiaNow.

Sebelum ini, kandungan surat itu tular di media sosial yang kemudiannya diakui sendiri oleh Zahid bahawa beliau menghantar surat mendakwa kesemua ahli Parlimen BN menyokong Anwar sebagai perdana menteri. 

Awal hari ini, Sultan Abdullah seharusnya bertemu dengan 30 ahli Parlimen BN secara individu selepas memberi isyarat wujud percanggahan mengenai siapakah yang mereka sokong sebagai perdana menteri. 

Bagaimanapun, hanya Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang hadir mewakili gabungan itu.

Selain itu, wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Menjelang petang, tumpuan mula beralih kepada hotel ternama di Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi lokasi perbicangan rasmi kali pertama antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan BN. 

Antara pemimpin UMNO yang dikatakan hadir termasuk perdana menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mohamad.

Manakala Zahid dilaporkan tidak berada dalam pertemuan tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here