‘Tiada kerjasama BN dengan PH’ – pendirian Hishammuddin

BENDAHARI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berpendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Dalam satu kenyataan di Facebook malam ini, beliau yang menang di kerusi Parlimen Sembrong, menyatakan keperluan parti itu untuk bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan.

Katanya, rakyat sudah membuat pilihan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan ia harus kita hormati serta insafi.

“Jelas, tiada satu parti pun berupaya membentuk kerajaan. Parlimen kini tergantung. Yang paling penting, negara dan rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dalam melangkah ke hadapan. 

“Ini sebabnya kita mesti bekerjasama dengan pihak yang berkongsi nilai dan matlamat yang sehaluan. Namun, saya konsisten sejak sebelum ini lagi, dan saya tetap teguh pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya, lapor BH Online.

UMNO dijangka mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan kedudukan parti itu, selepas tiada satu parti memperoleh majoriti cukup untuk membentuk kerajaan.

BN termasuk UMNO yang bertanding di 178 kerusi Parlimen pada PRU-15 mengalami kekalahan terburuknya sejak menyertai PRU, selepas gagal mempertahan banyak kerusi yang dimenangi mereka pada PRU-14 lalu.