Muhyiddin yakin PN bakal bentuk kerajaan

0
272

PERIKATAN Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) kedua-duanya yakin bakal mentadbir Putrajaya, ketika kedua-duanya muncul sebagai pemenang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU+15), walaupun kedua-duanya masih tidak mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyididin Yassin memecah penantian seluruh rakyat Malaysia dengan memberi bayangan gabungan itu sedang menuju pembentukan kerajaan baru ke Putrajaya selepas memenangi 73 kerusi Parlimen setakat jam 3.00 pagi. 

Muhyiddin menegaskan melalui mesyuarat khas pimpinan PN, gabungan itu bersetuju untuk mengalu-alukan mana-mana parti politik yang menerima prinsip perjuangannya untuk melahirkan kerajaan yang bersih, prihatin dan stabil di peringkat persekutuan. 

“PN juga ada kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan negeri di Perlis,” katanya pada satu sidang media di Shah Alam, Selangor bersama barisan pimpinan PN kira-kira sembilan jam selepas pusat mengundi bagi PRU15 ditutup. 

Kenyataan Muhyiddin kemudiannya disambut sorakan dan laungan penyokong yang hadir mengatakan mereka menolak kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN). 

“Tolak Zahid. Tolak Zahid,” laung penyokong disaksikan Muhyiddin dan ahli majlis tertinggi PN. 

Antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan Presiden Gerakan Dominic Lau. 

Bagaimanapun, Muhyiddin meredakan keadaan dengan mengatakan tidak perlu menamakan mana-mana pihak memandangkan tawaran itu terbuka kepada sesiapa yang bersetuju dengan prinsip PN. 

“Ini bermakna kita perlu ambil kira pihak-pihal tertentu dari parti-parti lain. 

“Kalau mereka ini sehaluan dengan perjuangan, PN akan pertimbangkan secara mendalam,” katanya kepada hadirin yang menunggu pengumuman PRU15 sejak pukul 6 petang, semalam. 

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pendirian PN menyatakan tiada kerjasama akan dibuat antara gabungan itu dan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi PH Anwar Ibrahim turut yakin bakal membentuk kerajaan dengan majoriti kerusi melebihi 111m walaupun enggan mendedahkan bagaimana mereka boleh mempunyai angka yang cukup. 

Setakat ini, tiada satu parti politik yang mempunyai kerusi secukupnya untuk membentuk kerajaan secara majoriti. 

Ini membawa petanda bahawa kerjaaan yang akan terbentuk pada masa terdekat adalah sebuah kerajaan campuran. 

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata pihaknya akan menghubungi blok parti politik dari Sabah dan Sarawak untuk perbincangan lanjut mengenai perkembangan politik semasa pada pagi esok. 

Terdahulu, pemimpin-pemimpin utama politik Sabah dan Sarawak menyatakan persetujuan untuk membentuk kerjasama sebagai “blok Borneo” dengan memberikan sokongan kepada kerajaan pusat yang bakal memberi manfaat kepada negeri itu. 

Pada perkembangan sama, Muhyiddin turut memberitahu PN sudah menerima satu surat daripada Istana Negara. 

Bagaimanapun, beliau tidak boleh mendedahkan isi kandungan dokumen itu. 

Menurut Muhyiddin, surat itu menyenaraikan beberapa arahan dan keperluan yang perlu diselesaikan dalam kadar segera selewat-lewatnya pada petang esok. 

“Bukan menghadap (Yang di-Pertuan Agong). Tetapi adalah beberapa perkara yang perlu dipenuhi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here