Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: Pengundi muda bantu PN menang besar di Kelantan -

PRU-15: Pengundi muda bantu PN menang besar di Kelantan

SOKONGAN padu yang dizahirkan oleh pengundi muda memacu kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) yang bertanding menggunakan logo Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Ahmad Yakob berkata, gelombang sokongan itu menyaksikan PN meraih majoriti berganda berbanding PRU lalu seperti di Tumpat, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah.

“Sehubungan dengan itu setiap mesej yang disampaikan anak-anak muda mesti didengari dan isu-isu berkaitan golongan itu perlu diambil berat,” katanya ketika sidang akhbar keputusan PRU-15 di Pejabat Perhubungan Pas negeri di sini pada Ahad.

Menurut beliau, selain itu gelombang pengundi muda turut membantu kemenangan PN di Gua Musang apabila berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.

Tambahnya, situasi itu memperlihatkan pengundi kini tidak lagi melihat kepada sosok tubuh pemimpin sebaliknya lebih melihat kepada dasar yang dibawa oleh parti itu sendiri.

Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, manifesto dikemukakan PN terutamanya di Kelantan telah berjaya menepati citarasa rakyat termasuk anak-anak muda.

Pada PRU-15 PN melakar kejutan apabila menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan lapor Sinar Harian.