PRU-15: Petugas SPR meninggal dunia positif COVID-19

0
194

PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meninggal dunia ketika bertugas semalam disahkan akibat COVID-19.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata mangsa, 45 tahun yang mati mengejut itu bertugas di pusat mengundi Sekolah ACS Methodist Jalan Raya Barat.

“Punca kematian adalah disebabkan positif COVIF-19 dan semua anggota polis yang bertugas bersama Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya berkenaan sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, sepanjang tempoh 5 November hingga semalam pihaknya menerima 393 laporan polis dan daripada jumlah itu, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka dan tujuh individu ditahan.

“Walaupun masih terkesan beberapa insiden terpencil yang berlaku, namun ia berjaya ditangani dengan baik oleh pasukan yang bertugas dalam tempoh itu.

“Polis Kontinjen Selangor masih lagi menempatkan pasukan petugas berada dalam keadaan siap siaga pada bila-bila masa apabila diperlukan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya serta tidak menyebarkan berita palsu yang bertujuan untuk membangkitkan kegelisahan di kalangan masyarakat,” katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan provokasi yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Secara keseluruhannya proses mengundi di Selangor berjalan lancar tanpa sebarang isu sensitif dan insiden yang tidak diingini.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada rakyat Selangor kerana berjaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi secara matang. Kerjasama anda semua amat kami hargai dan diucapkan ribuan terima kasih,” katanya Lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here