Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRU-15: Calon PN Sungai Buloh selesai mengundi -

PRU-15: Calon PN Sungai Buloh selesai mengundi

CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Mohd Ghazali Md Hamin selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi Parlimen itu.

Mohd Ghazali tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 Kota Damansara, di sini, pada jam 8.11 pagi sebelum selesai mengundi pada jam 9.20 pagi.

Beliau tiba bersama isteri, dan empat anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU), Muhammad Imran, 24, turut berkesempatan beramah mesra dengan pengundi.

Warga Sungai Buloh mula tiba di pusat pengundian di SK Seksyen 7 Kota Damansara seawal jam 7.10 pagi.

Mohd Ghazali ketika ditemui berkata, beliau yang mengundi di saluran dua, bersyukur proses pengundian bersama ahli keluarga berjalan lancar.

“Saya harap semua warga Sungai Buloh keluarlah mengundi dan saya sarankan ikutlah seperti yang sudah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tetapkan,” katanya lapor BH Online.

Calon bagi Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin pula mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Rembau.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan mengundi di pusat pengundian di Seputeh, Kuala Lumpur.

Pada PRU-15, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan saingan sengit tujuh penjuru di antara Khairy, Mohd Ghazali, Ramanan, Mohd Akmal Mohd Yusof (PEJUANG) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).

Selain itu, dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al-Sagoff dan Nurhaslinda Basri turut memberi saingan di kerusi berkenaan.

Untuk rekod, pada PRU-14, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti undi 26,634.

Pada pilihan raya itu, daftar pemilih untuk Parlimen ini adalah 90,707 dan jumlah itu bertambah menjadi 158,090 pada PRU-15 ini.

Ia membabitkan 155,659 pengundi biasa, 1,857 anggota tentera dan pasangan, 531 anggota polis dan pasangan serta 43 pengundi tidak hadir luar negara.