Ulama ajak sokong PN elak kumpulan ancam Islam

ULAMA dari Pusat Pengajian Pondok terkenal di Kelantan berharap pengundi membuat pilihan terbaik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini bagi mengelakkan peristiwa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) berulang.

Pengerusi Madrasah Diniah Bakriah Pasir Tumboh, Abdul Halim Derani berkata, PH mengamalkan pemerintahan lebih liberal yang menjadi ancaman besar kepada umat Islam.

Oleh itu kata beliau, umat Islam yang layak mengundi dinasihat memilih Perikatan Nasional (PN) yang lebih ‘ringan’ kemaslahatan berbanding PH dan Barisan Nasional (BN).

“Parti mana-mana pun ada salahnya dan silapnya cuma hendaklah kita pilih mana-mana yang lebih baik daripada yang baik, kurang mudarat kepada Islam.

“Keburukan itu ada sedikit sebanyak dan kita cari keburukan sikit dan kebaikan itu lebih banyak dari sudut Islam,” katanya, lapor Harakahdaily.

Abdul Halim yang juga Pengerusi Jemaah Tadbir Pondok Pasir Tumboh berkata, proses pemilihan pemimpin melalui pilihan raya perlu diikuti oleh semua warga negara yang layak.

Menurutnya, buat masa sekarang hanya satu gabungan sahaja yang dilihat mampu mengemudi pentadbiran negara selepas 19 November ini iaitu PN.

Kata beliau juga PAS pula berjaya mentadbir Kelantan sejak 32 tahun lalu kemudian melebarkan kekuatan ke Kedah dan Terengganu, membuktikan kerajaan negeri terbabit bebas daripada sebarang rasuah.

Jelas beliau juga mengundi bukan hanya memberi manfaat di atas dunia sahaja, malah ia akan dipertanggungjawab di akhirat kelak jika tidak ditunai dengan sempurna.

“Oleh itu saya harap semua umat Islam memberi sokongan penuh kepada PN supaya negara kita selamat daripada anasir yang mengancam agama Islam dan penganutnya.

“Setiap kita hendaklah mengundi jika layak, ingat kita bukan sekadar buang undi selesai dunia sahaja, bahkan apa yang kita undi ada kaitan di akhirat,” katanya