HUJAN lebat di sekitar Klang, Shah Alam, Puchong dan Kajang bermula malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air, manakala satu kejadian tanah runtuh dikesan berlaku.
Hujan lebat bermula jam 11 malam mengakibatkan Jalan Kampung Landasan Bukit Kuda dan Taman Sentosa, Klang; Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1, Puchong; Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah kawasan Kota Raja dinaiki air.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata air turut dikesan naik di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang, Kajang; Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun, Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang, Semenyih.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, menerima beberapa panggilan banjir dan bermula jam 12.26 tengah malam tadi.
“Seramai 130 pegawai dan anggota JBPM, dengan aset logistik membabitkan 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera digerakkan ke semua lokasi banjir dan tanah runtuh,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Norazam berkata sehingga jam 3.30 pagi tadi, lebih 31 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.
Katanya, tiga PPS berkenaan dibuka di Masjid Kampung Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.
“Kenaikan air yang paling dalam dikesan di pada paras dua kaki (0.6 meter) di Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang manakala bacaan air terendah dikesan pada paras 0.3 meter di sekitar Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong.
“Selain mangsa banjir, JBPM Selangor juga turut memberi tumpuan kepada golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sehingga jam 4 pagi tadi operasi pemindahan mangsa masih dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut mengesan trend air mula menurun di beberapa lokasi selepas hujan lebat mulai reda.
Sementara itu sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat Kajang, turut membantu mengeluarkan empat mangsa dalam kejadian tanah runtuh membabitkan rumah teres dua tingkat di Taman Sri Jelok, Kajang.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan sehingga kini pegawai dan anggota JBPM Selangor masih ditempatkan di kawasan-kawasan berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.