CALON PH kerusi Parlimen Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia.
Berita itu disahkan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
“Saya boleh sahkan beliau meninggal dunia. Saya baru dapat tahu kira-kira 15 minit lalu dan masih menunggu berita lanjut,” katanya lapor FMT.
Tambahnya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemergian Karupaiya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Redzuan Salleh berkata, Karupaiya menghembus nafas terakhir pada jam 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.
“Kami masih belum mengetahui punca sebenar kematian dan kami maklumkan perkembangan terkini. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.
Karupaiya yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua berdepan saingan enam penjuru apabila dicabar calon Barisan Nasional, C Sivarraajh, Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional, Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao.
Ahli PKR itu memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada pilihan raya umum 2018 selepas menewaskan Leong Yong Kong daripada MCA dan calon PAS, Sobri Osman.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.