‘Cuba cerita sikit Anwar dapat harta dari mana’

0
143

KETUA Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan mengenai harta diperolehnya sebelum membuat tuduhan bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah sebuah parti yang kaya.

Wan Saiful yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor, berkata Anwar sendiri sebenarnya lebih kaya sehingga tidak mahu mengambil gaji sekiranya diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya tidak baca sepenuhnya (dakwaan Anwar berhubung PN sebuah parti kaya) tetapi saya rasa kalau tengok betul-betul yang kaya ini adalah Anwar seorang saja.

“Sebab itu dia (Anwar) tidak perlu ambil gaji kalau jadi Perdana Menteri. Dekat sini boleh lihat yang ada kemampuan sehingga tolak gaji ini mesti sudah kaya, jadi cuba cerita sikit dapat harta dari mana?” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berhubung PN sebuah parti kaya pada sidang media di Bilik Gerakan PN Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ketika ini ekoran banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik COVID-19.

Anwar berkata, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Susulan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, turut mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan PN adalah gabungan politik yang paling kaya ketika ini.

Muhyiddin berkata, Anwar hanya membuat fitnah semata-mata tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Katanya, Presiden PKR itu gemar membuat pelbagai dakwaan untuk mempengaruhi sentimen pengundi yang dilihat mula menyokong PN.

“Dia kata PN parti paling kaya, tetapi apa buktinya. Kalau hendak buktikan, tunjuk akaun bank antara pemimpin PN dan PH. Anwar boleh tunjukkan tak?

“Kalau dia ada bukti tunjukkan, jika tiada bermakna dia pembohong dan pengundi jangan percaya.

“Sebaliknya kita adalah sebuah parti baharu, kita tidak mempunyai sumber yang besar, kita bergantung kepada orang yang mahu membantu perjuangan kita, itu saja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here