Jangan biarkan sejarah hitam berulang, kata Muhyiddin

JANGAN biarkan sejarah hitam berulang.

Itu ingatan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Sambil mengingatkan pengundi agar tidak membuat pilihan yang salah, Presiden Bersatu itu berharap pengundi memilih parti yang bersih daripada rasuah dan menjanjikan kestabilan negara.

“Kita perlu memilih kerajaan terbaik untuk Malaysia. Kita tidak mahu sejarah hitam berulang, kita tidak mahu UMNO/BN parti yang terpalit dengan isu kleptokrasi kembali.

“Kita juga tidak mahu PH kembali. Cukuplah 22 bulan yang cukup menekan dan menyeksakan. Ada beberapa contoh parti yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak langsung menghormati hak-hak bumiputera, malah tindak-tanduk mereka menyanggah perlembagaan dan hak kaum-kaum lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Muhyiddin menegaskan, lahirnya PN adalah bagi memberi rakyat tawaran baharu yang lebih baik dan bersih.

“PN menawarkan Tawaran PN yang diakui penganalisis politik lebih baik daripada ditawarkan PH dan BN. PN juga telah terbukti mampu menguruskan negara bukan sahaja krisis kesihatan malah ekonomi.

“PN bukan lagi ‘underdog’ tetapi sebuah gabungan yang berpengaruh dengan dokongan dan sokongan rakyat, khususnya orang Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau teruja dengan semangat dipamerkan penyokong-penyokong PN di seluruh negara menerusi siri Jelajah PN Best.

“Saya telah menyaksikan gelombang kebangkitan PN dari utara di Kedah dan Perlis, hingga ke Johor dan Pahang. Semalam dan malam tadi juga saya melihatnya di Perak, menerusi sambutan hangat warga Felda Gunong Besout dan Meru di Ipoh,”

“Insya-Allah, dengan berkat usaha dan kerja keras serta doa ikhlas kita semua, PN mampu memenangi PRU-15 dan membentuk kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyat,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu menghadiri Jelajah PN Best Perak bagi memberi sokongan kepada calon-calon PN terutamanya kepada Datuk Seri Faizal Azumu yang bakal berhadapan dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam saingan kerusi Parlimen Tambun. -SB