Ketua Pemuda PAS Sik mohon berehat dari jawatan

0
300

KETUA Dewan Pemuda PAS Kawasan Sik Mohd Shahiful Mhd Nasir membuat permohonan untuk berehat daripada jawatan itu dan semua jawatan dalam parti untuk tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Permohonan itu dibuat menerusi satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha PAS Kawasan Sik bertarikh 11 Nov lepas.

Dalam surat berkenaan, Mohd Shahiful memaklumkan keputusan itu dibuat susulan video yang tular mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa sesiapa yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan masuk api neraka.

Katanya, permohonan yang dibuat itu adalah secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Ucapan dalam video itu merupakan ucapan saya sendiri dan bukan mewakili PAS khususnya, Perikatan Nasional (PN) amnya. Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak sama ada dalam PAS mahupun PN yang terkesan dan tersinggung akan ucapan saya itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika dihubungi mengesahkan mengenai permohonan Mohd Shahiful berkenaan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here