Rakyat Terengganu mahu Dr. Ahmad Samsuri kekal sebagai MB

0
63

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

RAMAI pengunjung berpuas hati, ada yang tersenyum puas, ada yang bersorak dan bertepuk tampar di antara satu sama lain.

Malah, lebih 10,000 pengunjung yang hadir sempena malam pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Terengganu di Rusila, Marang pada 4 November lalu bukan sahaja akur, malah amat berpuas hati dengan kesemua calon yang ditampikan.

Rata-rata ahli dan penyokong setia Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang hadir pada malam itu berpendapat kesemua calon PN yang ditampilkan mampu membawa kemenangan besar kepada parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November nanti.

Ini kerana kata mereka, nama-nama besar seperti Tan Sri Abdul Hadi Awang (Marang), Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun) dan Datuk Ahmad Amjad Muhamad Hashim (Kuala Terengganu) sememangnya sukar digugat.

Begitu juga dengan calon lain iaitu Che Alias Hamid (Kemaman), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr. Alias Razak (Kuala Nerus, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) dan Saharizukirnain Abd Kadir (Setiu) sudah pasti mampu memberikan persaingan agak sengit.

Namun, apa yang mengembirakan kata mereka apabila nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak ‘lekat’ (tidak tersenarai) untuk kerusi Parlimen.

Sebelum ini, mereka berasa bimbang apabila nama Samsuri sebanyak tiga kali tular menerusi media sosial mengatakan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen.

Lalu penulis bertanya kepada kumpulan pengunjung terbabit kalau tidak ‘lekat’ kenapa pula berasa gembira sangat, bukan bersedih!.

“Alahai..kita berharap dan mahukan Dr. Samsuri terus kekal bertanding di DUN dan kekal menjadi Menteri Besar (MB) Terengganu sekiranya PN menang selepas DUN negeri bubar nanti”, ujar salah seorang pengunjung terbabit.

Baru penulis ingat, beberapa hari sebelum pengumuman calon diadakan, tular poster menerusi media sosial mengenai senarai nama calon-calon PN yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Terengganu termasuk nama Samsuri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

Dalam senarai calon yang tular itu Samsuri dikatakan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, ada mengatakan di Kuala Nerus dan satu lagi mengatakan di Parlimen Dungun.

Turut tular bertanding ialah Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Hussain Awang yang dikatakan akan bertanding di Parlimen Besut.

Bagaimanapun, Samsuri pernah menafikan mengenai spekulasi tersebut yang disifatkan sebagai palsu.

Selain poster calon, beberapa spekulasi lain yang turut tular mengenai Samsuri termasuklah mengaitkan hubungannya dengan istana yang dikatakan sedikit dingin.

Berdasarkan itulah, ada laporan mengatakan nama Naib Presiden Pas itu bakal berpindah ke kerusi Parlimen dan tempatnya (DUN Rhu Rendang) bakal diganti dengan Mohamad Khalil Abdul Hadi.

Sebelum itu, Samsuri pernah memberikan bayangan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen pada PRU-15.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dan Bandar Baharu Lestari Durian Mentagau, Dungun, beliau berkata, tidak bertanding dan buat apa pergi ke kerusi Parlimen?

Akhirnya, selepas tempoh proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen selesai pada sabtu lalu mendapati namanya tiada, sekaligus segala teka teki mengenai Samsuri telah terjawab.

Maka itu, rakyat Terengganu khususnya pengundi DUN Rhu Rendang berharap dan mahukan Samsuri terus dicalonkan bertanding di DUN Rhu Rendang dan kekal sebagai MB Terengganu.

Pada PRU-14 lalu Samsuri yang buat pertama kali bertanding di DUN Rhu Rendang berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,028 undi.

Dalam persaingan tiga penjuru itu, beliau yang memperoleh 13,831 undi berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku yang mendapat 7,823 undi dan Zarawi Sulong (PKR) yang mendapat 729 undi dan hilang wang pertaruhan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here