Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah -

Politik negara bergolak teruk jika BN-PH rancang bentuk kerajaan, dakwa Fadillah

SEORANG pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) meramalkan arena politik negara kembali bergolak jika kerjasama politik Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) direalisasikan, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Calon GPS bagi Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bukan sahaja berlaku ketidakstabilan, malah kemelut politik negara juga bertambah buruk jika benar jajaran itu sedang dirancang.

“Pertama sekali dalam BN itu sendiri, ada yang menyokong dan ada yang tidak menyokong kerjasama BN dan PH,” katanya menurut Astro AWANI.

Fadillah berkata demikan sebagai mengulas dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN akan bergabung dengan PH selepas PRU-15.

Pada masa sama, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menyuarakan bahawa strategi itu bertujuan memudahkan proses penggabungan antara BN dan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Hadi juga membangkitkan objektif akhir kerjasama itu adalah “menyelamatkan” pemimpin BN yang menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Dalam pada itu, Fadillah yang juga ketua whip GPS menyeru pengundi memilih GPS demi kestabilan dan keutamaan Sarawak ketika ini ialah menentukan dasar di peringkat Persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil.

“Jika BN dan PH bergabung, itu hak mereka. Keutamaan Sarawak sekarang ialah menentukan dasar di peringkat persekutuan iaitu mewujudkan kerajaan stabil. GPS sahaja, jangan fikir yang lain. GPS yang akan dapat menstabilkan politik negara ketika ini,” katanya.

Isu dakwaan kerjasama BN dan PH itu kemudiannya dinafikan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malah Pengerusi PH-PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan kerjasama antara dua seteru politik itu adalah fitnah.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilapor menepis dakwaan kononnya pemimpin parti itu mahu mengecilkan kemenangan BN untuk memberikan kemenangan kepada PH.

Sebaliknya, beliau yang juga presiden Umno itu berkata, semua parti mahukan kemenangan besar termasuk parti yang baharu bertanding.