CALON Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Gerik Datuk Asyraf Wajdi Dusuki adalah calon luar, malah bukan berasal dari Perak, sekali gus bakal ditolak oleh pengundi tempatan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Malah, ketika nama Beliau diumumkan sebagai calon BN bagi Parlimen itu, kekecohan berlaku dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Gerik, kerana mereka mahukan anak tempatan.
Laporan mengatakan beberapa pusat daerah mengundi BN juga ditutup kerana ramai yang tidak berpuas hati dengan pencalonan Asyraf Wajdi mewakili mereka kerana beliau bukan anak tempatan.
Veteran UMNO Datuk Seri Nazri Aziz yang turut menyifatkan Ketua Pemuda UMNO itu akan berdepan masalah dan kemungkinan kalah dalam saingan tiga penjuru.
Asyraf Wajdi akan berdepan calon Perikatan Nasional, Fathul Huzir Ayob dan Ahmad Tarmizi Mohd Jam daripada Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU-14, BN menang dengan majoriti 5,528 undi mengalahkan calon PAS yang memperoleh 7,715 undi dan PH (6,353 undi).
Namun, berdasarkan gelombang rakyat yang mahukan perubahan selain menolak BN – susulan kemelut politik yang dicetuskan parti gabungan UMNO itu khususnya sejak 2020 hingga pemilihan calon PRU – BN dilihat akan tumbang.
Cabaran sengit datangnya daripada Perikatan Nasional – Fathul Huzir adalah anak tempatan Gerik yang berasal dari Felda Nenering – setelah gelombang kebangkitan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil, dan dapat memajukan kawasan Parlimen Gerik.
“Pertama Gerik, ini kerana calonnya bukan daripada kawasannya, malah bukan daripada negeri (Perak). Dah tentu dia akan bermasalah kerana biasalah kita mahu calon tempatan,” kata Nazri yang tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas, kali ini.
Beliau berkata walaupun pengundi luar bandar biasanya berpegang kepada lambang, kerusi Parlimen Gerik bagi PRU-15 adalah kawasan ‘kelabu’ buat BN setelah beberapa penggal menguasai kawasan itu.
Kerusi kelabu bermakna kawasan parlimen yang mempunyai peluang 50-50. Sementara kerusi putih merupakan kawasan yang selamat dan kerusi ‘hitam’ membawa maksud peluang kemenangan yang tipis.
Selain itu, Nazri juga berpendapat BN hanya akan menang lapan kerusi daripada 24 kerusi Parlimen di Perak.
Menurut laporan Agenda Daily, Fathul Huzir mengajak pengundi, terutama anak muda, memberi sokongan kepada Perikatan Nasional pada PRU kali ini supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil.
Beliau turut mengingatkan pengundi termasuk, yang berada di luar kawasan, untuk pulang dan keluar beramai-ramai memberi mandat kepada Perikatan Nasional memerintah negara.
“Kepada penduduk Gerik, saya mengingatkan bahawa Perikatan Nasional walaupun hanya memimpin Kerajaan Pusat selama 17 tahun, tetapi berjaya menangani krisis terbesar dunia, sekali gus menunjukkan kemampuan Perikatan Nasional untuk mentadbir negara.
“Jika krisis besar seperti pandemik Covid-19 boleh ditangani oleh Kerajaan Perikatan Nasional, apa lagi jika ketika krisis. Maka, usaha boleh ditumpukan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat dan negara.
“Beri peluang kepada Perikatan Nasional untuk memerintah negara demi generasi masa depan negara yang lebih cemerlang,” katanya sambil menyifatkan sebagai anak tempatan, beliau memahami kehendak penduduk Gerik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.