Pengundi yakin PN mampu realisasi tawaran PRU15

TAWARAN manifesto yang dilancarkan Perikatan Nasional (PN) bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’ atau PN Best pada Ahad lalu, disambut baik pengundi tempatan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 12 tunjang yang ditawarkan parti gabungan itu sekiranya mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Membina ekonomi masa hadapan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat serta membersihkan politik dan tadbir urus merupakan antara tunjang yang diberi keutamaan selain menyediakan 30 pendekatan dan 234 tawaran.

Jelas Muhyiddin, tunjang lain yang digariskan adalah mensejahterakan bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.

Rata-rata mereka yang mengikuti majlis pelancaran sempena Tawaran PRU15 PN itu menyifatkan senarai berkenaan bukanlah janji kosong, malah mampu direalisasikan.

Seorang penduduk, Imran Ishak percaya dengan kemampuan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang begitu bersungguh memberi lebih 500,000 peluang pekerjaan kepada rakyat ketika pentadbiran beliau sebelum ini.

“Jika kita perasan, kadar pengangguran sejak Januari hingga September tahun ini menunjukkan penurunan dan itulah antara jasa beliau dalam memulihkan kembali ekonomi negara,” katanya, lapor Sinar Harian.

Bagi wakil anak muda, Ahmad Firdaus Roszri, antara tawaran yang paling menarik perhatiannya adalah memperkasakan belia dan mensejahterakan keluarga muda dengan program pembiayaan perumahan tanpa faedah.

“Saya lihat tawaran menyewa rumah yang diumumkan memang berbaloi dan bukti PN prihatin kepada keperluan anak muda. Lagi satu, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) sebanyak 25 peratus pun bagus,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Vissa Kalansieam juga berharap semua manifesto yang ditawarkan itu dapat direalisasikan untuk rakyat Malaysia khususnya demi membela kebajikan golongan memerlukan.

“Sudah tentunya saya suka jika semua janji-janji itu dapat direalisasikan dan ia memberi manfaat kepada golongan B40 seperti saya untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.