Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Rafizi berselidung di sebalik perkataan 'saya dimaklumkan, saya difahamkan' tabur fitnah - Tuan Ibrahim -

Rafizi berselidung di sebalik perkataan ‘saya dimaklumkan, saya difahamkan’ tabur fitnah – Tuan Ibrahim

 Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Rafizi Ramli supaya membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung tuduhan kelulusan projek oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, menegaskan jika benar tuduhan itu sepatutnya Timbalan Presiden PKR itu perlu melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sebaliknya, katanya Rafizi membuat tuduhan dan cuba berselindung dengan memberitahu tuduhan dilemparkan berdasarkan maklumat sumber dalaman yang diberikan.

“Dia (Rafizi) berselindung di sebalik (kata) ‘saya difahamkan’, ‘saya dimaklumkan’, ‘ada pihak yang beritahu’, ini kalimah-kalimah dari segi perundangan yang tak boleh diambil tindakan undang-undang.

“Tapi mungkin ada aspek-aspek lain yang kita kena tengok. Tapi saya nak tegaskan bahawa fitnah ini tak betul, sebab itu saya minta supaya kalau ada kes ada bukti, reportlah. Jangan buat fitnah musim ini.

“Mungkin dia (Rafizi) tak sebut secara direct. Cuma dia kata ada pihak-pihak tertentu cuba desak menteri untuk lulus. Pihak mana? Kalau ada pihak nak suruh desak, tak pernah jumpa pun saya, untuk desak,” katanya dalam ceramah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Pahang, malam tadi, memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian mengulas tuduhan dibuat Rafizi yang mendakwa KASA dalam proses menganugerahkan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin UMNO.

Rafizi mendakwa dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, beliau menuntut Tuan Ibrahim menjawab dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak akan meluluskan sebarang projek dalam tempoh pentadbiran kerajaan sementara, kerana ia bertentangan dengan pekeliling Perbendaharaan.

Tuan Ibrahim menjelaskan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

“Nak saya tegaskan. Saya tak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan.

“Dan saya nak tegaskan tidak ada mana-mana pihak yang datang jumpa saya minta lulus RM2 bilion, yang bukan sikit,” katanya.

Beliau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di Kubang Kerian, Kelantan dan DUN Cheka, Pahang menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang tender di KASA.

“Bukan macam zaman PH (Pakatan Harapan mentadbir kerajaan). Bagi saya itu urusan Jawatankuasa Tender (biar mereka) urus. Saya tak nak terbabit dan saya tak pernah tanya pun Ketua Setiausaha (KASA mengenai hal itu).

“Ikut prosedur, ikut peraturan, siapa yang layak, siapa yang dapat, proceed,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tuduhan mengenai projek di Krubong, Melaka yang mana sudah melalui proses tender mengikut prosedur kewangan dan tidak mempunyai sebarang isu dalam perkara itu.

Beliau menegaskan, sebaik Parlimen dibubarkan semua projek tidak boleh diberi kelulusan peruntukan kewangan, sebagaimana notis dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara berhubung perkara itu.

“Ini notis yang biasa, pertamanya tidak boleh bagi apa-apa komitmen kewangan. Yang kedua tak boleh janji projek membabitkan kewangan bagi tanggungan kerajaan akan datang.

“Yang ketiga tak boleh buat mana-mana dasar tak boleh lulus mana-mana polisi, mana-mana dasar dalam tempoh kerajaan peralihan atau ‘caretaker government,” katanya.

Menegaskan beliau mengetahui dan memahami peraturan itu: “Kamu ingat aku tak reti peraturankah?”

Beliau memaklumkan selepas Parlimen dibubarkan, beliau hanya terbabit tiga program KASA, iaitu pertama menghadiri sambutan Hari Alam Sekitar Negara di Kuantan dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.

“Keduanya menghadiri dan merasmikan Karnival Kementerian Alam Sekitar dan Air di Kubang Kerian, dan ketiga menghadiri majlis meraikan kakitangan kementerian yang berpencen atau bertukar ke kementerian lain.

“Tiga program yang saya hadir. Dan tidak ada sebarang tandatangan mana-mana surat yang luluskan mana-mana projek,” katanya.

Justeru katanya, beliau juga sudah meminta peguamnya meneliti aspek undang-undang bagi tindakan seterusnya ke atas Rafizi.