[TAWARAN PN] Moratorium bersasar, tabung pelaburan RM5 bilion jadikan Malaysia paksi ekonomi

0
239

PERIKATAN Nasional (PN) akan menjadikan Malaysia paksi ekonomi Asia Tenggara yang berteraskan industri masa hadapan dengan menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan berjumlah RM5 bilion.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan PN akan menggalakkan perkembangan industri berteknologi tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi khususnya tenaga kerja muda.

“Bagi merancakkan proses pemulihan ekonomi negara, kita akan membangunkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berdaya saing sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Antaranya meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan atau moratorium secara bersasar bagi membantu PMKS yang terjejas.

“Selain itu, insentif khas Skim Prihatin PMKS akan disediakan untuk menggalakkan pendigitalan pengeluaran produk dan perkhidmatan serta latihan kemahiran,” katanya berucap melancarkan manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam malam ini.

Dengan tema “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST, Perikatan Nasional menampilkan tawaran melalui 12 tunjang dan 30 pendekatan dengan 234 tawaran.

Tawaran ini digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

Muhyiddin berkata, kerajaan PN juga akan membangunkan sektor pertanian dan industri makanan menjadi lebih rancak.

Beliau menambah, untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi kepada rakyat pada harga munasabah, enam Hub Mega Pengeluaran Makanan Negara akan diwujudkan di kawasan strategik dengan pelan penggunaan tanah yang komprehensif bagi tujuan pengeluaran, ketersediaan dan pengedaran makanan ke arah mencapai tahap sara diri negara.

“Selain itu, peruntukan berjumlah RM1 bilion untuk dana Fund for Food akan disediakan bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan menstabilkan harga makanan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan PN juga menawarkan pewujudan satu juta pekerjaan dalam bidang berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, PN juga akan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat yang susah.

Sehubungan itu katanya, PN menawarkan pewujudan sebuah agensi tunggal yang akan berfungsi sebagai sebuah pusat sehenti yang akan menyelaras pemberian pelbagai bentuk bantuan dan subsidi kepada rakyat.

“Setiap tahun kerajaan memperuntukkan antara 50 hingga 70 bilion ringgit dalam bentuk subsidi dan bantuan sosial. Tetapi penyaluran bantuan diurus oleh kementerian dan agensi yang berbeza-beza.

“Dengan adanya sebuah agensi tunggal ini, data-data mengenai rakyat yang memerlukan bantuan akan dikumpulkan secara real time dan dimasukkan ke dalam satu pangkalan data tunggal supaya bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera dan tidak ada seorang pun yang layak tertinggal daripada menerima bantuan.

“Kita juga akan terus memperkasa Agenda Pembasmian Kemiskinan dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum, kelas sosial dan wilayah,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup kakitangan awam yang berpendapatan rendah, Perikatan Nasional menawarkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) penjawat awam sebanyak RM100 yang akan diselaras secara berkala.

Perikatan Nasional katanya, juga akan memperkasa kualiti perkhidmatan kesihatan yang cekap dan mesra rakyat melalui kerangka dan sistem pengurusan kesihatan negara yang holistik, terutamanya dengan mengambil kira keperluan kesihatan warga emas sebagai persediaan ke arah negara menua atau aging nation.

“Selain itu, Kad Prihatin Nasional akan diperkenalkan untuk memberi akses perkhidmatan kesihatan terpilih secara percuma di klinik swasta dan hospital kerajaan.

“Perikatan Nasional juga akan memantapkan sistem pendidikan yang inklusif, berdaya saing dan bertaraf global. Ini termasuk menyediakan peruntukan khas penyelenggaraan sekolah sekurang-kurangnya sebanyak RM2.5 bilion setahun bagi tempoh 2023-2025,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here