Cuti Ahad dan Isnin jika PN bentuk Kerajaan Pusat selepas 19 November

0
307

Perikatan Nasional (PN) akan memberi cuti umum pada Ahad dan Isnin sekiranya berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November ini.

Mengumumkan demikian malam ini (6 November 2022), Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pemberian cuti itu adalah tambahan kepada ratusan lagi tawaran yang disediakan Perikatan Nasional dalam manifesto “Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang” atau PN BEST yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran.

“Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman ataupun di lain daripada tempat tinggal mereka.

“Jadi saya nak umumkan jika Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya 19 November nanti kita akan isytiharkan cuti umum pada hari Ahad bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, dan Isnin bagi negeri-negeri lain.

“Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada Ahad ataupun Isnin yang akan datang ini,” katanya ketika melancarkan manifesto PN BEST, di Shah Alam, malam tadi.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berkata Perikatan Nasional akan membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil bagi menjamin kemakmuran berterusan dan membina Malaysia yang inklusif dan gemilang, jika menang pada 19 November ini.

Secara keseluruhan tawaran itu digubal bagi mempertahankan keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum.

“Bagi umat Islam, Perikatan Nasional akan membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam menuju keredaan Allah,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata Perikatan Nasional menggarapkan perkara ini melalui 12 Tunjang dan 30 Pendekatan dengan 234 Tawaran di dalam manifestonya.

Beliau berkata Perikatan Nasional juga berikrar bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kewangan rakyat dan penjawat awam, akan dikekalkan dan ditambahbaik untuk semua lapisan masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here