[VIDEO] Padah langgar lari penghantar makanan, Myvi diterbalikkan orang ramai

0
420

SEBUAH kereta diterbalikkan beberapa individu yang berang selepas pemandunya mengejek dan cuba melarikan diri sejurus melanggar seorang penghantar makanan yang menunggang motosikal di Jalan Kota Masai 2, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor pada malam Khamis.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, kereta Perodua Myvi dikatakan melanggar lampu isyarat merah di simpang empat jalan berkenaan sebelum merempuh motosikal penghantar makanan hingga penunggangnya patah kaki.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal, 26, mendakwa, kereta tersebut cuba melarikan diri tetapi terhalang dengan kenderaan lain lalu masuk ke sebuah stesen minyak berhampiran.

Dia yang juga bekerja sebagai penghantar makanan berkata, kereta tersebut ‘terperangkap’ di stesen minyak itu sebelum dikerumuni orang ramai tetapi tidak mengapa-apakan pemandu berkenaan.

“Tidak lama kemudian dua kereta peronda polis tiba lalu membawa masuk pemandu kereta itu ke dalam kereta peronda polis dipercayai untuk memastikan keselamatannya.

“Namun apabila berada dalam kereta peronda polis, pemandu terbabit bertindak mengejek orang ramai menyebabkan ada antaranya berasa geram dan marah.

“Ini menyebabkan segelintir individu bertindak memecahkan cermin tingkap kereta berkenaan menggunakan topi keledar sebelum terbalikkan kereta itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada malam Khamis, lapor Sinar Harian.

Beberapa rakaman video kejadian itu turut tular sejak malam Khamis menunjukkan sekumpulan lelaki bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Myvi sebelum kereta itu diterbalikkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 38 saat berkenaan insiden berkenaan dan turut menerima laporan kejadian itu pada jam 9.40 malam Khamis.

Beliau berkata, pemandu kereta dan penunggang motosikal tersebut masing-masing berusia 21 tahun mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut, namun kini dilaporkan stabil.

“Kekecohan berlaku dan selepas kejadian itu kereta tersebut telah dirosakkan dan diterbalikkan sekumpulan individu tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaaat.

Katanya, bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan Balai Polis Taman Scientex menahan tiga lelaki tempatan berusia 17 hingga 24 tahun antara jam 10.45 pagi hingga 12 tengah hari Jumaat.

Jelas beliau, tangkapan dibuat sekitar Jalan Bunga Raya, Masai dan Jalan Tembikai, Taman Kota Masai.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan sehingga setahun.

“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis menjalankan tugas mengikut undang-undang,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here