Kit Siang nasihat Tun M, Ku Li tarik diri jadi calon PRU-15

0
196

LIM Kit Siang menasihatkan ahli politik seangkatan dengannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Veteran DAP itu mahu kedua-dua tokoh berkenaan memberi peluang kepada calon lain untuk bertanding.

“Saya minta Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menolak penamaan sebagai calon dalam PRU-15.

“Serahkan usaha untuk memenuhi impian Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia kepada golongan anak muda di Malaysia,” katanya dalam surat terbuka yang ditujukan kepada semua calon dalam PRU15 sempena penamaan calon esok.

Kit Siang, 81, mengumumkan bersara daripada politik pada Mac lalu dan tidak akan menjadi calon pada PRU15.

Beliau menceburi politik 57 tahun dan menjadi sebahagian daripada pemimpin yang mengasaskan parti sejak 1966, pernah bertanding di lima negeri – Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor sepanjang kariernya.

Dr. Mahathir kini berusia 97 tahun akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dan bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), manakala Tengku Razaleigh, 85, bertanding di Parlimen Gua Musang melalui tiket Barisan Nasional (BN).

Dr. Mahathir adalah bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh, mula menjadi Ahli Parlimen pada 1964 selepas bertanding dalam Pilihan Raya Umum ketiga.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li memegang rekod sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini selepas 12 penggal bertanding dan menjadi wakil rakyat di peringkat parlimen dan negeri, mulai 1969.

Kit Siang berkata, Malaysia sudah tersesat jalan dan perlu ditetapkan semula hala tuju dan kembali kepada prinsip yang ditetapkan oleh tokoh kemerdekaan.

Beliau berkata, Malaysia perlu teruskan konsep negara raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

“Badan kehakiman perlu bebas, tadbir urus dilaksanakan dengan baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dan keharmonian dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.

“Kita telah ditinggalkan di belakang satu demi satu negara dari segi ekonomi – Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Melainkan kita bangkit semula, kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lagi,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata; “Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.

“Marilah semua calon berjanji untuk melakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan Malaysia menjadi satu lagi Sri Lanka atau Zimbabwe menjelang ulang tahun ke-100 negara.

“Malaysia dapat memenuhi potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sepenuhnya seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here