PRU-15: PN Pahang tidak lamar calon digugurkan parti lain

0
234

PERIKATAN Nasional (PN) Pahang tidak akan melamar mana-mana penyandang kerusi yang digugurkan oleh parti lain untuk bertanding sebagai calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Malah menurut pengerusinya Datuk Seri Saifuddin Abdullah, PN Pahang tidak berfikiran untuk menawarkan samada kerusi Parlimen atau kerusi DUN kepada ahli sesebuah parti politik lain yang ingin bertanding atas tiket PN.

Namun bagi Saifuddin, PN Pahang tetap akan akur dengan sebarang arahan dan keputusan Majlis Tertinggi.

“Itu bukan bidang kuasa Perikatan negeri Pahang, apa saja keputusan itu tertakluk kepada keputusan Majlis Tertinggi, kami ini akur dengan keputusan Majlis Tertinggi.

“Jadi itu kami di peringkat kami, kami tidak berfikir begitu tapi kalau Majlis Tertinggi melihat ada kewajaran, kami terserah lah, itu semua terserah kepada Majlis Tertinggi,” katanya memetik laporan Astro AWANI.

Saifuddin berkata demikian selepas majlis Pelancaran Jentera PN Indera Mahkota malam tadi ekoran terdapat spekulasi tawaran bertanding kepada penyandang kerusi Parlimen Maran yang digugurkan semasa pengumuman calon parti tersebut malam Selasa lalu.

Terdapat desas-desus penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib kononnya dirisik sebuah parti politik lain selepas Barisan Nasional (BN) tidak mencalonkan namanya untuk PRU15.

Malah dikatakan masyarakat Orang Asli di kawasan Maran tidak akan keluar mengundi sekiranya Ismail tidak menjadi calon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here