Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PN tak sekat mana-mana individu mahu sertai PN -

PN tak sekat mana-mana individu mahu sertai PN

PERIKATAN Nasional (PN) tidak menghalang mana-mana individu yang mahu menyertai gabungan parti berkenaan, kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu sudah menjadi dasar parti dalam gabungan berkenaan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Dasar parti-parti kita ini, sesiapa yang nak menjadi ahli kita tak pernah halang (dan) sekat.

“Itu keputusan sejak awal (dan) kita buat begitu pasal ini (PN) adalah parti yang mewakili pribumi, Bumiputera, Islam dan parti saya (BERSATU) pun ada yang bukan Islam. Jadi, itu terpulang pada pihak masing-masing.

“Bagi kita, soal menjadi keahlian itu tak menjadi masalah (tetapi) soal nak jadi calon itu adalah soal atau ada pertimbangan lain yang perlu diambil kira,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Minum Petang Bersama Jentera PN Hulu Terengganu, hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menjangkakan tiada perubahan calon pada saat akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, ia berikutan senarai nama calon berkenaan sudah diputuskan dan dimuktamadkan, apatah lagi tarikh penamaan calon juga semakin hampir.

“Yang ada sekarang, kita sudah putuskan dan sudah ada persetujuan berapa PAS dapat, BERSATU dapat (dan) kita kena muktamad (soal calon) pasal harinya sudah sampai dan tempoh yang cukup dekat,” katanya.

Semalam, PN mengumumkan bertanding 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang, Perlis dan Perak pada PRU-15.

Menerusi jumlah itu, BERSATU akan bertanding 74 kerusi, PAS akan bertanding di 64 kerusi Parlimen, manakala Gerakan diberikan 20 kerusi Parlimen.