Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Hadi Awang sah pertahan Marang -

Hadi Awang sah pertahan Marang

PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Saya boleh sahkan beliau akan pertahankan kerusi yang disandangnya.

“Saya tidak tahu pun ada desas-desus beliau (Hadi) tidak akan bertanding pada PRU-15. Hari ini baharu saya dengar,” katanya ketika ditanya mengenai ada dakwaan mengatakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak bertanding pada PRU-15.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli, di Kota Bharu, pada Sabtu.

Pada PRU lalu, Abdul Hadi menang di Parlimen Marang dengan 53,749 undi menewaskan dua pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN) dan PKR.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah kerusi PN yang akan bertanding pada PRU-15, Takiyuddin berkata, perkara itu masih belum ada keputusan muktamad.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen dan belum pasti lagi berapa banyak mahu bertanding. Di Sarawak terdapat 31 Parlimen dan PN tidak bertanding di negeri itu.

“Di Sabah pula ada 25 Parlimen dan kita bersama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Takiyuddin turut menafikan dakwaan mengatakan berlakunya protes di Parlimen Tumpat susulan penyandangnya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi mungkin digugurkan daripada senarai calon.

“Kehendak satu-satu kumpulan memang ada, namun apabila parti sudah buat keputusan, semua akan diterima,” katanya.