Rempuhan Halloween di Seoul: 149 maut

0
232

SEKURANG-kurangnya 149 orang terbunuh, manakala 76 yang lain cedera dalam rempuhan maut di daerah Itaewon di Seoul, ketika sekumpulan besar pengunjung berpesta menyambut perayaan Halloween.

Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa bomba berkata, kemalangan itu berlaku malam Sabtu di lorong menuruni bukit yang sempit berhampiran Hotel Hamilton di daerah pusat hiburan malam yang terkenal selepas sekumpulan orang yang berpesta membanjirinya, menurut saksi.

Seramai 149 orang, termasuk dua warga asing disahkan meninggal dunia, setakat awal pagi ini, dengan 76 yang lain cedera, manakala 57 dilaporkan parah, kata pihak berkuasa bomba, sambil menambah jumlah kematian mungkin meningkat.

Ketua Jabatan Bomba Yongsan, Seoul, Choi Seong Beom memberitahu pemberita, “ramai mangsa terkorban apabila orang ramai terjatuh semasa pesta Halloween.”

Mangsa dalam lingkungan 20 tahun adalah kumpulan umur yang paling terjejas akibat kemalangan itu, kata pihak berkuasa.

Pihak bomba pada mulanya menerima berpuluh-puluh laporan daripada orang ramai di kawasan Itaewon mengenai pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.

Pasukan penyelamat yang dihantar ke tempat kejadian memberikan bantuan pernafasan (CPR) ke atas berpuluh-puluh mangsa di jalan berhampiran.

“Apabila orang di hadapan jatuh, mereka di belakang terus merempuhnya,” kata seorang saksi berusia 20-an kepada Agensi Berita Yonhap.

Punca sebenar kemalangan masih belum diketahui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here