BEKALAN telur ayam berkurangan di beberapa negeri sejak kebelakangan ini bukan sahaja menjejaskan perniagaan malah mencetuskan kerisauan dalam kalangan peniaga kecil.
Tinjauan SatuBerita mendapati ramai peniaga terpaksa pergi dari satu kedai ke satu kedai lain demi mencari bekalan telur untuk meneruskan perniagaan mereka.

Peniaga burger, Amir Syafiq, 25, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan menyebabkan dia terpaksa membeli di pasar raya besar, meskipun harga tinggi.
“Kadang-kadang kena naik motor pergi kedai runcit pun habis, walhal baru pukul 6 petang telur dah habis. Pergi kedai runcit kedua pun sama, akhirnya pergi pasar raya walaupun harga lebih tinggi.
“Kerajaan kena ambil serius isu telur, minyak dan sebagainya. Kawal harga, janganlah harga melampau sangat, terlalu sakit bagi kami peniaga kecil-kecilan untuk membeli barang tersebut,” katanya ketika ditemui SatuBerita hari ini.

Pengusaha kedai bakeri, Atif Afifah, 25, tanpa telur perniagaannya bakal terjejas kerana telur merupakan bahan utama pembuatan kek.
“Saya pergi keluar sini sana cari telur. Itu pun bila dapat yang ada hanya telur mahal sahaja. Ini sudah meningkatkan kos,” katnyanya.
Beliau berharap kerajaan mengambil berat isu bekalan telur kerana ia barang keperluan semua.
“Ini benda asas. Orang buat kek guna telur, orang makan pun goreng telur. Tak perlu ada isu macam ini lagi, dengar apa rakyat nak,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha gerai ‘pancake’ (lempeng) yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiq, 31, turut terkesan dengan kekurangan telur ayam berpendapat kerajaan perlu memperbanyakkan lagi ladang pengeluaran telur.
“Cadangan saya kerajaan harus tingkatkan pengeluaran telur ayam dengan menggunakan tanah luas di negara ini, wujudkan pengusaha dan berikan insentif yang berpatutan,” katanya. – SB
Jelasnya, kekurangan bekalan telur ayam seperti mempunyai hubungan dengan kempen pilihanraya yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
“Cuma hairan, masuk-masuk nak pilihan raya ni agaknya diorang main sorok-sorok dengan telur ni,” katanya berseloroh. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.