Warga Bangladesh maut terjatuh dalam pembentung

SEORANG lelaki warga Bangladesh maut selepas terjatuh ke dalam pembentung di Taman Lagenda di Teluk Intan, Perak, hari ini.

Mangsa yang berusia 30 tahun itu dikatakan terjatuh pada kedalaman tiga meter ketika melakukan kerja-kerja pembinaan.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.32 petang.

“Setibanya di lokasi didapati seorang lelaki warga Bangladesh terjatuh ke dalam pembentung berkedalaman tiga meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Astro AWANI.

Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba menaikkan mangsa menggunakan tali sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.