Polis tahan pengawal keselamatan dera anak angkat

0
184

POLIS menahan seorang pengawal keselamatan kerana mendera anak angkatnya dalam kejadian di Pangsapuri Seri Mutiara semalam .

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan berumur 30 tahun.

“Siasatan dijalankan mendapati pengadu iaitu seorang wanita tempatan berumur 19 tahun bertengkar dengan kakaknya selepas menegur perbuatan pasangan suami isteri itu yang memarahi anak angkat mereka pukul 7 petang kelmarin.

“Pengadu turut mendakwa pernah melihat mangsa dipukul oleh suspek,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Katanya, mangsa merupakan kanak-kanak lelaki berumur empat tahun yang dijaga oleh pasangan terbabit.

“Mangsa dijaga pasangan itu sejak berumur lima bulan selepas diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara suka rela.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek,” katanya.

Menurutnya, mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.

“Siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan seorang lelaki yang merupakan ayah angkat kepada mangsa dan suspek direman lima hari bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here