Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pasang bendera awal ambil 'semangat' PRU-15 -

Pasang bendera awal ambil ‘semangat’ PRU-15

BEBERAPA bendera Pas yang dipasang di beberapa lokasi di Terengganu dibuat bagi mengambil ‘semangat’ Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, itu sudah menjadi tradisi di negeri itu sebaik pengumuman rasmi dibuat berkenaan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada setiap PRU walaupun belum tiba hari penamaan calon.

“Daripada segi undang-undang PRU, selepas sah parti mana bertanding barulah secara rasminya mana-mana parti dibolehkan untuk letak (naikkan) bendera mereka.

“Tetapi, kita di Terengganu mengambil kira tradisi sebelum ini iaitu bila bubar sahaja Parlimen terus naikkan bendera. Sebenarnya PRU kali ini keadaan dilihat agak ‘sejuk’ di negeri ini berbanding yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Media PN Terengganu, Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian, hari ini.

Bagaimanapun Ariffin berkata, parti itu sedia menurunkan bendera yang sudah dinaikkan sekiranya diminta oleh pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

“Jika pihak berkuasa tempatan (PBT) kata satu kesalahan dan akan ambil tindakan, itu adalah hak PBT dan kita akan akur kerana sekarang bukan lagi tempoh kempen yang sebenar.

“Walaupun Pas sebagai parti pemerintah, kita tidak akan bertindak sewenang-wenangnya melanggar peraturan bahan kempen termasuk bendera yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita akan sentiasa bekerjasama dalam mematuhi semua peraturan SPR sepanjang PRU15 berlangsung agar ia berjalan lancar, ” katanya.

Baru-baru ini, pemasangan bendera parti politik di beberapa kawasan termasuk pembahagi jalan raya menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat dan ditularkan dalam media sosial.

Beberapa pihak turut menyuarakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan memasang bendera secara ‘kekal’ dengan menampal simen pada batang bendera yang dipacak di sebuah lokasi di Gong Badak, Kuala Nerus.

Tindakan itu dilihat mengundang kecaman ramai kerana disifatkan sebagai perbuatan vandalisme.

Difahamkan, parti politik perlu membayar wang deposit bahan kempen pilihan raya sebanyak RM5,000 untuk kawasan Parlimen dan RM3,000 bagi kawasan Dewan Undangan negeri (DUN).

Tindakan memasang bendera terutama di kawasan tidak dibenarkan boleh diambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Akta Pilihanraya dan Perintah 6 (1), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990.