Jualan tiket bas laris sejak SPR umum tarikh PRU-15

0
198

SELEPAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarih mengundi, semalam, jualan tiket bas terutama dari Lembah Klang ke Kelantan laris dengan lebih 80 peratus terjual.

Tiket yang laris adalah pada 16 hingga 18 November untuk perantau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15).

Ejen jualan tiket bas ekspres, Izani Zakaria, 40, berkata, sebaik pengumuman SPR semalam, dia menerima banyak panggilan sehingga malam tadi bertanyakan tiket bas.

Katanya, kebanyakan penumpang dari Lembah Klang membeli tiket bermula 16 November sehingga 18 November.

“Bayangkan pada 18 November, sebanyak 30 bas dari Lembah Klang ke Kelantan sudah hampir penuh dengan setiap bas kebanyakannya tinggal 10 hingga 15 kerusi sahaja.

“Saya tidak sangka sambutan begitu menggalakkan dan mungkin hari ini tiket sudah kehabisan memandangkan sambutan diterima seolah-olah seperti hari raya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, sambutan terhadap jualan tiket memang meriah terutama dari Lembah Klang.

“Pada 18 November, hanya tinggal satu bas sahaja lagi yang masih mempunyai kekosongan, manakala sembilan bas lagi sudah penuh.

“Kita jangka mungkin hari ini akan habis dari Lembah Klang, namun dari negeri lain masih ada kekosongan,” katanya.

Semalam, SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 15 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here