POLIS berjaya menahan enam suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun berkumpulan seorang lelaki membabitkan kerugian sekitar RM13,000.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, polis menerima laporan berhubung kes itu yang berlaku di Jalan Khoo Peng Loong di sini pada jam 11.30 malam kelmarin.
“Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun cedera di dahi dan dada akibat dipukul menggunakan senjata tumpul oleh sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan.
“Mangsa kerugian telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM 13,000,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.
Susulan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu membuat enam tangkapan dan rampasan di lokasi berlainan.
“Enam suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes itu berusia antara 27 hingga 40 tahun telah diberkas.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.