KADAR tol empat lebuh raya di bawah Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) diturunkan di antara lapan dan 15 peratus bermula tengah malam tadi.
Dalam kenyataannya, pengendali lebuh raya itu memaklumkan pengurangan kadar tol ini membabitkan kenderaan kelas satu (kenderaan mempunyai dua gandar contohnya kereta penumpang dan tiga atau empat roda, kecuali teksi dan bas), kelas empat (teksi) dan kelas lima (bas).
“Bagi kenderaan kelas dua (kenderaan yang mempunyai dua gandar dan lima atau enam roda, kecuali bas) dan kelas tiga (kenderaan yang mempunyai tiga gandar atau lebih, kecuali bas), kadar tol adalah tidak berubah,” katanya, lapor BH Online.
Katanya, empat lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Ia menyaksikan kadar tol baru bagi kelas di AKLEH diturunkan dari RM2.50 kepada RM2.13; RM1.90 kepada RM1.75 (GCE); RM1.70 kepada RM1.56 (LKSA Seri Muda); RM0.90 sen kepada RM0.83 sen (LKSA Alam Impian) serta RM1.80 kepada RM1.66 di Kajang SILK.
Bagi kelas empat, kadar tol baru di AKLEH diturunkan dari RM1.80 kepada RM1.53, sementara tol lain dari RM0.90 sen kepada RM0.83 sen.
Sementara bagi kelas lima, kadar tol baru bagi kelas di AKLEH diturunkan dari RM1.50 kepada RM1.28; RM1.40 kepada RM1.29 (GCE); RM1.20 kepada RM1.10 (LKSA Seri Muda); RM0.60 sen kepada RM0.55 sen (LKSA Alam Impian) serta RM1 kepada RM0.92 sen di Kajang SILK.
“PROLINTAS komited untuk menyediakan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa termasuklah dari aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya sehinggalah pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuh raya kendaliannya,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.