Lebih 20,000 pegawai, anggota Polis diatur gerak hadapi banjir – Hamzah

0
447

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mengatur gerak seramai 21,018 pegawai dan anggotanya bagi menghadapi bencana banjir di seluruh negara pada bila-bila masa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata sebanyak 1,681 aset PDRM termasuk 367 bot, 845 kereta pacuan empat roda, 454 lori dan 11 aset udara juga sedia untuk dikerah mengikut keperluan serta perkembangan semasa.

“Selain itu, saya meminta semua Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai pusat operasi pengurusan banjir di peringkat daerah masing-masing selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara, Dasar Pengurusan Bencana Negara.

“Selain itu, seramai 4,367 pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) bersama aset mereka iaitu 41 lori tiga tan dan 36 kenderaan pacuan empat roda juga dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak ke lokasi yang berpotensi dan dijangka berdepan banjir,” katanya dalam sidang media khas operasi banjir di Bukit Aman hari ini.

Hamzah berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula ditugaskan memberi bantuan ke pulau-pulau khususnya penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas selain pemindahan mangsa banjir menggunakan pesawat udara.

“Laporan daripada PDRM mengenai beberapa kawasan seperti Tanjung Karang di Selangor, Baling di Kedah, Kuala Pilah di Negeri Sembilan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak juga telah dinaiki air.

“Oleh yang demikian, Pusat Pemindahan Sementara telah diaktifkan di kawasan terbabit dan misi bantuan juga telah diaturgerakkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya.

Hamzah juga berkata berdasarkan penjelasan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, PDRM akan berdepan kekangan dalam menggerakkan operasi pengurusan banjir jika bencana itu berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata pada PRU15, PDRM akan menugaskan lebih 94,000 daripada 120,000 anggotanya berbanding hampir 75,000 pada PRU14 berikutan pertambahan jumlah pengundi susulan pendaftaran secara automatik rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas sebagai pengundi.

“Berdasarkan simulasi penugasan banjir, anggota RELA akan bertugas di luar kawasan mengundi manakala polis  di dalam saluran mengundi.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia PDRM di talian 03-2266 3333/ 03-2266 3444/ 03-2266 3451 atau talian MERS 999,” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here