RATA-RATA orang ramai masih terkejut dengan keputusan pembubaran Parlimen, sekali gus bakal menyaksikan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada musim tengkujuh dan banjir.
Tinjauan SatuBerita turut mendapati ramai mengeluh, namun terpaksa akur kerana keputusan telah dibuat pihak berkuasa.
Penghantar makanan, Saiful Amri, 35, berkata, dia tidak begitu setuju dengan pembubaran Parlimen pada waktu ini dan keputusan itu seperti menggunakan kuasa untuk kepentingan kumpulan tertentu.
“Sepatutnya tak perlulah pembubaran Parlimen itu berlaku, tapi nak buat macam mana keputusan pun dah keluar.
“Menteri yang ada kuasa jadi mahu atau tidak kita kena terima dan hadap,” katanya.
Pembantu restoran makanan, Abra Shaharuddin 29, mengakui terkejut selepas mengetahu Parlimen dibubarkan dalam keadaan ekonomi tidak begitu stabil dan rakyat sedang susah.
“Sebab waktu sekarang memang tak sesuai. Kenapa kita perlu teruskan untuk sedangkan kita sedar negara kita masih lagi terjejas degan Covid-19, rakyat masih susah tiada sumber pendapatan yang tetap.
“Tambah lagi dengan bencana alam, semalam pun rasanya ada lagi kes banjir terbaru dilaporkan di Sabah.
“Jadi bila fikir balik ia sedikit menghampakan kami tapi sebagai rakyat marhain kita akur dengan keputusan “ katanya.
Muhd Aizat 29, pula bersetuju Parlimen perlu dibubarkan namun tidak bersetuju Parlimen dibubarkan dalam musim banjir.
“Parlimen patut dibubarkan kerana mungkin kita boleh merasa tapuk kepimpinan baharu tetapi buat masa sekarang, kita akan menghampiri musim tengkujuh dan sudahpun banjir, mungkin sebenarnya tidak sesuai jika diteliti dalam masa terdekat ini,” katanya.