PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu supaya rundingan pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang diselesaikan segera.
Ini berikutan parti itu tidak mempunyai masa panjang bagi menyelesaikan pembahagian kerusi apabila parlimen dibubarkan hari ini.
“Kalau diikutkan peraturan, kita hanya ada 60 hari sahaja selepas tarikh dibubarkan. Mungkin dalam masa seminggu dua ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh pilihan raya, penamaan calon dan sebagainya.
“Jika semua setuju, kami di (pimpinan) Pusat boleh mengendors dengan segera. Kita tanding dan kerja di bawah satu jentera sahaja. Bersatu, PAS atau Gerakan tak perlu ada markas berasingan. Kerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian kepada media ketika melancarkan PN Pahang di Dewan Al-Makmur, Temerloh di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Pahang dikuasai Barisan Nasional (BN) selepas BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN pada pilihan raya lepas, manakala bakinya ialah Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.