Bubar Parlimen: Tunggu dulu pengumuman rasmi – PM

0
265

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ditanya berhubung pelbagai spekulasi tersebar mengenai pembubaran Parlimen, Perdana Menteri enggan mengesah atau menafikan kerana tidak mahu mencetuskan spekulasi baharu mengenai perkara itu.

Beliau juga tidak memberi pengesahan sama ada pembubaran Parlimen akan dilaksanakan sebelum Bajet 2023 diluluskan, selain enggan memberi sebarang jaminan belanjawan negara akan diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan.

“Tak apa, kita tunggu dulu. Untuk pembubaran ini tunggu pengumuman. Apa pun saya cakap, akan ada spekulasi. Tunggu dulu.

“Soalan ini (harap Bajet 2023 diluluskan sebelum pembubaran Parlimen) pun kalau saya jawab, dah ke arah spekulasi baharu. Tunggu dulu,” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai spekulasi berpanjangan berhubung pembubaran Parlimen yang dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

Ismail Sabri turut ditanya sama ada Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat kelmarin, akan diluluskan terlebih dahulu sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 dilaksanakan.

Khamis lalu, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara.

Bagaimanapun, spekulasi ketika itu mengatakan Perdana Menteri dijangka turut memohon pembubaran Parlimen dalam pertemuan berkenaan, di samping membincangkan mengenai Bajet 2023.

Khabar angin mengatakan Perdana Menteri dijangka memohon perkenan baginda untuk pembubaran Parlimen tercetus susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini.

Berdasarkan keputusan UMNO itu, ramai pihak berpandangan Parlimen perlu dibubar awal atau pertengahan bulan ini, kerana PRU15 berisiko diadakan pada musim tengkujuh dan banjir jika ia dibubarkan lebih lewat dari tempoh itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here