“Kami prihatin rakyat, tak takut hilang jawatan”: Saifuddin bidas Zahid

TAKUT kehilangan jawatan bukan menjadi punca menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, sebaliknya gabungan itu lebih prihatin kepada kesulitan yang bakal dihadapi rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata kebimbangan PN adalah kemungkinan bencana alam, termasuk hujan lebat dan banjir, yang akan menyusah dan membebankan rakyat.

Katanya ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan ada kemungkinan berlaku banjir pada hujung tahun ini susulan negara memasuki musim Monsun Timur Laut.

“Kami menteri-menteri Bersatu dan PAS tak ada isu jawatan sebab jawatan ini hanya sementara, dan ia bukan milik kami pun, sebaliknya hak parti.

“Kami ini wakil parti saja, jadi kalau parti kata jadi, jadilah (menteri).

“Pada kami, kami tidak pernah bincang pun soal jawatan,” katanya pada sidang media di Kuantan, hari ini, seperti dilapor MKini.

Untuk rekod, MetMalaysia meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Malah, sejak beberapa hari lalu terdapat kawasan di negeri Pantai Barat dan Timur Semenanjung telah mula banjir akibat hujan lebat sehingga paras air sungai melimpah.

Terdahulu, hari ini, MetMalaysia juga meramalkan sebahagian besar negeri di Semenanjung, selain Sabah dan Sarawak, dijangka mengalami hujan berterusan dan ribut petir bermula hari ini sehingga Isnin ini.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan 12 menteri PN menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon tiada PRU diadakan tahun ini kerana takut kehilangan jawatan dan kuasa.

Zahid mendakwa, anggota Kabinet dari PN itu bimbang akan dihukum pengundi sendiri berikutan ada dalam kalangan mereka sebelum ini bertindak melompat parti.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indra Mahkota berkata Bersatu ketika ini telah menyatakan pendirian untuk menolak PRU diadakan dalam masa terdekat, dan pendirian sama diambil PAS.

“Begitu juga dengan Pakatan Harapan (PH), mereka setuju PRU diadakan tahun depan… jadi sekarang ini tinggal siapa lagi yang bersungguh-sungguh tetap mahukan PRU-15 ketika banjir?” katanya.

Beliau berkata sesuatu pilihan raya sepatutnya dilakukan ketika rakyat berada dalam keadaan selamat dan negara pula aman serta tidak terbeban dengan isu seperti banjir, inflasi dan masalah ekonomi.

Katanya, pemilihan tarikh untuk PRU- 15 juga perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak merosakkan semangat anak muda yang dikategorikan sebagai pengundi kali pertama untuk menggalakkan mereka keluar mengundi.

“Kalau boleh saya nak tanya anak muda, Undi18 dan pengundi kali pertama: bila mereka mahu PRU diadakan? Kita mahu semua dapat keluar mengundi beramai-ramai, barulah dinamakan demokrasi yang sihat,” katanya.