Jangan undi ‘orang gila’ mahu PRU dalam banjir

0
274

PENGUNDI diminta tidak memberi sokongan kepada pihak yang mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera ketika semua agensi kerajaan kini dalam persediaan menghadapi Fasa Peralihan Monsun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan berlakunya banjir besar antara Oktober hingga Mac tahun hadapan akibat peralihan monsun timur laut.

Bagaimanapun, katanya, ada pihak tidak mempedulikan amaran itu dan terus mendesak PRU-15 diadakan sehingga menyatakan sanggup berkempen dalam keadaan banjir tanpa mempedulikan nasib rakyat.

“Kita dapat laporan MetMalaysia meramalkan dijangka berlaku banjir besar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akibat pemanasan global dengan semua agensi Persekutuan dan negeri diarah membuat persediaan rapi.

“Tiba-tiba ada orang gila ajak buat pilihan raya, ini sejenis gila apabila ajak orang kempen dalam banjir. Dia kata pilihan raya dalam banjir sekalipun kita redah, mereka tak ada kerja hingga sanggup buat kerja ini.

“Apabila MetMalaysia kata banjir hingga Mac 2023, buatlah pilihan raya April. Masa itu semua orang boleh keluar mengundi. Kita pun senang berkempen, tak perlu selak kain lalu celah air nak berkempen ke rumah orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Kedah Sejahtera Daerah Kota Setar di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, yang turut dihadiri EXCO Penerangan negeri, Datuk Wan Romani Wan Salim.

Muhammad Sanusi berkata, keadaan menjadi sukar kepada semua pihak termasuk polis yang bertanggungjawab menjaga keamanan jika PRU-15 diadakan dalam keadaan banjir.

Berikutan itu, beliau berharap PRU-15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat ini dan mencadangkan dilaksana selepas April 2023, iaitu selepas keadaan cuaca diramal menjadi kembali cerah.

“Saya sudah sembah maklum kepada Sultan Kedah pada Selasa lalu, bahawa kerajaan negeri tidak akan bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga Mac 2023 dan hanya selepas itu boleh dipertimbang untuk bubar.

“Tuanku (Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) titah kepada saya itu kuasa Menteri Besar dan terpulang kepada pertimbangan saya, maka DUN Kedah selamat tidak perlu pilihan raya sehingga tahun depan.

“Tetapi kerana mereka mahu bubar Parlimen juga, maka kita mungkin kena mengundi Parlimen. Jika pengundi rasa susah untuk mengundi (dalam banjir), maka jangan undi orang gila itu.

“Saya tidak kata pada sesiapa, tetapi pada orang gila yang ajak pengundi berenang ke pusat mengundi,” katanya, memetik laporan BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here