PENONTON yang hadir menyaksikan konsert di karnival yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini diasingkan antara lelaki dan perempuan.
Ia adalah sebahagian daripada Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang perlu dipatuhi bagi memastikan aktiviti yang dijalankan itu patuh syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pengasingan jantina itu bertujuan mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan yang dikhuatiri boleh menjurus kepada perlakuan kurang sopan ketika konsert tersebut berlangsung.
“Peraturan tersebut juga telah lama dilaksanakan di negeri ini dan rakyat Terengganu sudah faham serta akur dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Baru-baru ini penganjuran konsert Riuh Sokmo di Kelantan menerima kecaman rakyat Malaysia kerana dikatakan tidak patuh syariat seperti mana yang ditetapkan kerajaan negeri pimpinan Pas dengan sebahagian penonton menari terkinja-kinja mengikut rentak lagu.
Selepas itu, tular pula video sebuah konsert tidak jauh dari Masjid Zahir di Kedah yang mencetuskan rasa kurang senang umat Islam kerana memaparkan aksi penonton sedang melompat dan menari menyaksikan persembahan itu.
Selain itu, beliau memberitahu, artis lelaki sahaja yang dibenarkan membuat persembahan pada konsert tersebut.
Menurutnya, artis dan petugas wanita yang menjaga reruai, pameran dan aktiviti jualan pula diwajibkan memakai tudung serta menutup aurat dengan sempurna sepanjang program tersebut berlangsung.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada pihak penganjur dan mereka telah bersetuju untuk melaksanakan program terbabit mengikut garis panduan hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan Terengganu.
“Kita berharap pengunjung yang hadir pula dapat mengawal tingkah laku agar tidak terlalu teruja berhibur hingga melanggar garis panduan yang ditetapkan Islam,” katanya.
Ariffin berkata, pengunjung konsert perlu bersikap rasional dengan berhibur dalam ruang lingkup yang sederhana tanpa perlu menari atau melompat seperti yang berlaku di tempat lain.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.