Pegawai JPJ sahkan Honda Civic Hybrid milik Shahrir

0
261

SEORANG penolong pengarah di Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengesahkan di Mahkamah Tinggi hari ini, bahawa kereta jenis Honda Civic Hybrid bernilai RM118,485 adalah milik Tan Sri Shahrir Ab Samad.

Zaharudin Zainuddin, yang bertugas di Bahagian Pendaftaran Pelesenan Kenderaan, berkata kenderaan persendirian itu didaftarkan pada 31 Disember 2013 menggunakan alamat No 17 Jalan Seruling, Taman Perbadanan Islam di Johor Bahru, Johor.

Saksi pendakwaan ke-19 itu berkata, dokumen maklumat terperinci dan insurans kenderaan terbabit dikeluarkan melalui sistem dalam talian JPJ dikenali MySikap.

“Saya juga sahkan bahawa berdasarkan dokumen pemilik terdahulu bagi kenderaan itu, saya mendapati ia masih lagi milik Shahrir kerana tiada maklumat tukar milik kepada penama lain sehingga kini.

“Berdasarkan semakan sistem MySikap JPJ, saya sahkan pendaftaran bagi kenderaan itu dibuat oleh rakan niaga JPJ (pengedar kenderaan).

“Sekiranya pendaftaran oleh pegawai JPJ sendiri, tiada rekod maklumat e-Daftar yang tertera dalam sisten MySikap JPJ,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Shahrir, 72, yang juga bekas Pengerusi FELDA didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kesalahan dilakukan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta, melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 25 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dalam pada itu, ketika pemeriksaan balas peguam bela, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, Zaharudin bagaimanapun menegaskan tidak mengetahui sama ada kereta itu digunakan UMNO Cawangan Taman Kebun Teh atau sebaliknya.

Sementara itu, Pembantu Pengurus Cawangan Maybank Damansara Heights, Fazilah Omar, berkata cek Public Islamic Bank atas nama Shahrir berjumlah RM115,000 bertarikh 9 Disember 2013, dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya di Cawangan Bukit Damansara.

“Saya juga sahkan salinan penyata akaun Maybank atas nama Shahrir bertarikh 31 Disember 2013. Berdasarkan penyata akaun itu, saya sahkan pada 28 November 2013, baki akaun adalah RM65,810.38.

“Pada 9 Disember 2013, terdapat kemasukan wang ke dalam akaun itu berjumlah RM115,000 melalui cek,” katanya yang juga saksi pendakwaan ke-17.

Saksi pendakwaan ke-18, Muhammad Zamzuri Mohd Zain, 53, pula mengesahkan Shahrir membuat transaksi kiriman wang daripada akaun miliknya kepada akaun Public Bank atas nama YM Auto Wheels Enterprise berjumlah RM69,090, pada 1 April 2014.

Penolong Pengurus Cawangan Maybank Desa Sri Hartamas itu berkata, bagi transaksi itu, kos perkhidmatan dikenakan sebanyak RM9 dan ia menjadikan jumlah transaksi pengeluaran sebanyak RM69,099.

“Berdasarkan cetakan komputer pada dokumen, disahkan bahawa transaksi dilakukan melalui kaunter menggunakan kaedah tunai,” katanya lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here